Bagaimana Pelaburan Saham Bantu Tingkatkan Nilai Duit?


Tabiat menyimpan memanglah satu amalan murni. Tetapi tahu tak kalau kita simpan saja duit tu kita tetap ada risiko ‘kehilangan nilai’ duit tu disebabkan inflasi? Jadi macam mana nak kembangkan atau tingkatkan nilai duit kita tadi? Salah satu cara adalah dengan melabur dalam pasaran saham supaya duit bekerja untuk kita. Istilah lainnya adalah “duit buat duit”.

Suka saya ingatkan bahawa aktiviti “duit buat duit” ini hanya untuk mereka yang ada duit lebih. Andai duit simpanan kecemasan berjumlah 3-6 bulan pendapatan pun belum ada, maka bersabarlah dulu. Fokus untuk cukupkan duit simpanan dulu.


1. Keuntungan Modal

Ini adalah kelebihan memiliki saham syarikat kerana harga saham telah diapungkan mengikut permintaan dan tawaran oleh peserta pasaran. Oleh itu, pelabur mengharapkan untuk membeli dengan harga yang rendah dan menjual dengan harga yang lebih tinggi.

Contohnya pada bulan Oktober 2013, setelah melakukan perancangan dan pemilihan yang teliti, Syahrul mengambil keputusan untuk melabur dalam syarikat Tenaga Nasional Berhad (kod saham: 5347). Beliau mendapati bahawa syarikat ini mempunyai perniagaan yang memiliki permintaan yang konsisten, mencatatkan keuntungan yang stabil dan carta yang sedang uptrend. Syahrul mempunyai wang lebihan sebanyak RM 30,000 untuk dilaburkan di pasaran saham. Syahrul telah membeli saham TENAGA dengan harga RM8.00 sebanyak 3,500 unit sahaja.

Setelah melabur selama lebih 1 tahun, pada bulan Januari 2015 beliau mengambil keputusan untuk menjual semua pegangan dengan harga RM14.00 dan menggunakan keuntungan wang tersebut untuk menunaikan umrah bersama isteri. Contoh pengiraan keuntungan sebelum kos adalah seperti berikut:

Kos belian : 3500 x RM 8.00 = RM28,000.00

Kos jualan : 3500 X RM 14.00 = RM49,000.00

Pengiraan pulangan atas pelaburan (ROI)
= ((49,000 – 28000) / 28000) x100) = 75%

*Pengiraan di atas tidak termasuk kos asas yang terlibat iaitu caj broker.

Syahrul telah berjaya mendapat keuntungan modal sebanyak 75% daripada pelaburan itu. Dalam bahasa mudah, jumlah asal modal yang hanya berjumlah RM28,000.00 telah meningkat menjadi RM49,000.00 dalam masa 15 bulan.

2. Dividen

Selain daripada menikmati keuntungan daripada kenaikan harga saham, pada masa yang sama para pelabur dapat menjana keuntungan tambahan jika syarikat yang dilaburkan itu mengumumkan dividen.

Terdapat dua jenis bonus sama ada dalam bentuk tunai dan saham. Jika dalam bentuk tunai, dividen akan dimasukkan terus ke dalam akaun simpanan atau akaun semasa yang didaftarkan semasa membuka akaun. Manakala jika pelabur layak mendapat dividen dalam bentuk saham, saham tambahan akan dimasukkan ke dalam akaun CDS pelabur.

Syarikat yang ingin memberikan dividen kepada pemegang sahamnya akan membuat pengumuman mengenainya kepada orang awam. Oleh itu, para pelabur akan cenderung membeli saham yang bakal menerima dividen.

Contoh:

a) TENAGA NASIONAL BERHAD – TENAGA (1155)

EX date : 18 Disember 2013
Entitlement date : 20 Disember 2013
Entitle Description: Final single-tier dividend of 15.0 sen per ordinary share of the Financial Year ended 31 August 2013

Senario:

Jika Syahrul memiliki 3500 unit pegangan saham TENAGA pada waktu pengumuman dividen dan memegang saham tersebut sehingga lepas tarikh EX-date, Syahrul layak menerima (3500 unit x RM0.15) =RM525.00.

Nota: Pengumuman dividen adalah tidak tetap, ia bergantung kepada syarikat tersebut sama ada secara tahunan (sekali setahun), dua kali setahun atau setiap suku tahun.

Dalam kes ini, Syahrul bukan hanya mendapat dividen sekali sepanjang tempoh beliau memegang saham TENAGA, malah beliau mendapat 3 kali dividen pada 19 May 2014 (3,500 unit x RM0.10 = RM350.00) dan 19 Disember 2014 (3,500 unit x RM0.19 = RM665.00)

Maka, jumlah keseluruhan dividen yang diterima oleh Syahrul sepanjang tempoh beliau memegang saham TENAGA adalah sebanyak RM1,540.00

3. Saham Hak dan Bonus

Apabila sesebuah syarikat merancang untuk menambahkan modal pasarannya, maka syarikat tersebut akan mengeluarkan saham hak atau saham bonus. Oleh itu, syarikat akan memberikan saham hak atau saham bonus kepada pemegang sahamnya yang sedia ada. Pemegang saham yang sedia ada mempunyai pilihan untuk membuat keputusan sama ada :

i) Menerima dan melaksanakan hak tersebut dengan membayar sejumlah wang sebagai penerimaan. Menerima secara automatik jika ia adalah bonus.

ii) Menjual hak tersebut di pasaran. Lebih dikenali sebagai OR. Kebiasaannya, pelabur diberi masa tujuh (7) hari samada untuk melaksanakan hak tersebut atau menjualnya pada pelabur lain.

iii) Tidak membuat apa-apa.

Jika syarikat tersebut memberikan waran percuma bagi setiap saham induk yang dimiliki, waran ini boleh diurus niaga seperti saham-saham biasa dan ini adalah tambahan wang kepada pemegang saham.

Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada anda yang baru nak berjinak-jinak dalam dunia pelaburan saham.

Luthfi Suib
Zurich Takaful Malaysia Berhad
011-59238789
Bagaimana Pelaburan Saham Bantu Tingkatkan Nilai Duit? Bagaimana Pelaburan Saham Bantu Tingkatkan Nilai Duit? Reviewed by Luthfi Suib on July 31, 2020 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.